Kuala Kubu Dalam Sastera

Korban Kuala Kubu Karam Karya Masyhor Malaya

(Shaharom Husain)

 

Oleh

Mohamad Kholid Hamzah

 

“Ingatlah Saniah, orang yang suka mendengar atau menyiasat cerita-cerita sejarah yang berhubung dengan hal-hal kaum bangsa dan negerinya, menunjukkan orang itu kasihkan bangsa dan cintakan tanahairnya.  Sebaliknya pula, orang yang tak gemar atau sengaja melupakan cerita-cerita sejarah, bererti orang itu melupakan bangsa, tanahair dan melupakan diri sendiri.  Orang seperti ini jiwanya tetap beku kaku dan hidupnya tidak mempunyai semangat,” Pawang Datuk Tangguk mengingatkan Sainah berulang-ulang kali dalam perbualannya.

 

Awal Bicara

 

NOVEL adalah satu bentuk penafsiran rencaman hidup manusia menerusi satu bentuk sastera iaitu cereka (Shahnon, 1989: 4).  Oleh itu novel diolah penulisnya untuk menggambarkan keseluruhan sebuah dunia yang hanya boleh dinikmati oleh pembacanya.  Setiap novel akan memaparkan keseluruhan pandangan penulisnya yang akan dikongsi kepada setiap pembacanya.  Korban Kuala Kubu Karam (Shaharom Husain, 1955) merupakan sebuah novel yang digubah dari sebuah kisah sejarah pada tahun-tahun awal campur tangan Inggeris dalam pemerintahan Negeri Selangor.

Hubung Jalin Sejarah dan Cereka

 

Sebuah novel sejarah akan menjadikan sejarah sebagai tema utama.  Watak-watak dan latar novel itu adalah watak sebenar dalam sejarah.  Manakala sebuah novel berlatar belakang sejarah pula akan mengemukakan watak-watak yang baharu dalam suasana dan latar sejarah yang sebenarnya berlaku.

Jadual 1 :  Tarikh-tarikh Bersejarah dalam Novel Korban Kuala Kubu Karam

Bil Tarikh Peristiwa
1. 1873 Peperangan antara Tengku Kudin dan Raja Mahdi yang bersekutu dengan Syed Mashhor
2. 1878-1881 Kerja-kerja membina empangan
3. 1874 Inggeris mencampuri pemerintahan Negeri Selangor dan Cecil Ranking dihantar ke Kuala Kubu
4. 29/10/1883 Cecil Ranking menembak buaya putih pada waktu petang dan empangan telah pecah pada pukul 11.00 malam
5. 29/10/1930 Kubur Cecil Ranking dipindahkan dari Kuala Kubu (lama) ke sebelah bangunan Belfield Club, Kuala Kubu Bharu

 

Novel ini mula ditulis pada tahun 1951 berdasarkan pengalaman Shaharom Husain sendiri yang tinggal di Hulu Selangor selama tiga tahun sebelum Perang Dunia Kedua dan selama lima tahun selepas Perang Dunia Kedua.  Jarak masa antara peristiwa empangan pecah pada tahun 1883 dan kehadiran penulis sebelum perang yang hanya 55 tahun memungkinkan penulis diandaikan menemui orang yang mengalami sendiri peristiwa itu sendiri.  Nama-nama kampung Melayu dan gambaran Kuala Kubu juga disebutkan secara jelas dalam novel.

 

Jadual 2 :  Latar dalam Novel Korban Kuala Kubu Karam

Nama-nama Kampung Melayu Gambaran Kuala Kubu
Kampung Peruntun

Kampung Semasam

Kampung Tualang

Sungai Damar

Batang Rening

Bukit Rasau

Kedua terbesar selepas Kuala Lumpur.

Perhentian keretapi seperti perhentian keretapi Johor Baharu dan terletak di sebelah bandar.

Jalanraya dari Raub melalui Kuala Kubu ke Kuala Lumpur.

Perlombongan bijih timah diusahakan orang-orang Melayu.

Rumah-rumah kerajaan dan kedai memenuhi kaki bukit dan tepi Sungai Kubu.

 

Sejarah yang dihubung jalin bersama cereka menjadi sebuah kisah baharu yang menarik.  Manusia-manusia yang dicipta penulis untuk diberi fungsi mendukung idea pokok, mengembangkan idea itu hingga berjaya mencapai matlamat penulis (Shahnon, 1989: 64).  Watak-watak ciptaan penulis dan watak-watak sejarah boleh sahaja berhubung antara satu sama lain.  Penulis akan mengolah dengan teliti sehingga sukar untuk pembaca dapat membezakan watak yang mana ciptaan penulis dan watak yang mana tertulis dalam sejarah.  Seterusnya penulis akan mengisi novel itu dengan pandangan penulis sendiri, menyisipkan harapan dan gagasan penulis sehalus mungkin

 

Jadual 3 :  Watak-watak dalam Novel Korban Kuala Kubu Karam

Bil Watak Keterangan
1. Pawang Datuk Tangguk Ketua orang-orang Melayu dan pawang yang membina empangan dan melindungi buaya putih
2. Sainah Watak utama yang mempertahankan buaya putih
3. Sudin Buah hati Sainah, ingin membunuh buaya putih dan bekerja kepada Cecil Ranking
4. Cecil Ranking Pemungut Hasil dan Magistret Hulu Selangor yang telah menembak buaya putih
5. Pak Judin Bapa Sainah
6. Pak Buyung Bapa Sudin
7. Mak Janiah Ibu Sudin
8. Salimah Kawan Sainah

 

Menjadi kelaziman dalam novel-novel sebelum merdeka watak-watak tidak dirincikan.  Watak hanya dinamakan sahaja.  Pembaca akan menggambarkan sendiri watak-watak tersebut.  Jika zaman tidak beralih terlalu jauh, pembaca mungkin mendapat sedikit gambaran.  Namun novel ini jika dibaca kini oleh generasi muda yang tinggal di bandar, gambaran jauh terpesong sama sekali.  Apa lagi sesetengah amalan dan kepercayaan masyarakat ketika itu tidak selari dengan pandangan agama dan budaya masyarakat kini.  Begitulah Novel Korban Kuala Kubu Karam, buaya putih yang dianggap keramat pada ketika itu mungkin hanyalah buaya albino yang difahami masyarakat kini.

Kisah sejarah tidak lari dari unsur mitos iaitu cerita zaman dahulu yang dianggap benar, terutama kisah sejarah yang mengandungi unsur-unsur konsep dan kepercayaan kewujudan sesuatu kejadian alam.  Novel ini mengolah unsur mitos ini menjadikan unsur utama dalam penceritaan.  Antara unsur-unsur mitos tersebut, Pawang Datuk Tangguk telah bermimpi jika ingin berjaya membuat empangan hendaklah bersemah.  Bersemah ketika itu merupakan kepercayaan yang sangat dipegang oleh pawang dan ketua masyarakat.  Untuk memenuhi adat bersemah itu, tiga ekor kerbau balau dan tiga ekor kambing putih dikorbankan.  Sepasang gambar naga juga disediakan.  Penulis tidak menceritakan secara terperinci adat bersemah itu.  Sebaliknya penulis melalui watak Sudin menentang adat lama itu.

Manakala buaya putih yang pertama kali ditemui Sainah telah dianggap buaya keramat kerana seolah memahami Pawang Datuk Tangguk.  Empangan yang asalnya dibina untuk membiakkan ikan-ikan sungai kini telah dihuni buaya putih itu.  Buaya putih itu diceritakan tidak mengganggu manusia sebaliknya sejak kehadirannya ikan-ikan telah berkembang biak.  Sudin mahu membunuh buaya putih itu tetapi ditegah Pawang Datuk Tangguk dan Sainah.  Sudin yang setia kepada Cecil Ranking menyokong penuh hasrat orang putih itu mahu menembak buaya itu dan membawa ke Kuala Lumpur untuk dipamerkan.  Ketika itulah sekali lagi Pawang Datuk Tangguk didatangi alamat berupa mimpi.

“Ada orang datang kepadaku berkata, buaya putih yang ada menumpang hidup di dalam kolam itu, janganlah ditembak atau diganggu.  Kalau dibunuh, orang yang dibunuh dan kalian penduduk Kuala Kubu dan kampung-kampungnya akan mendapat susah.”

Ternyata Cecil Ranking yang baru berusia 26 tahun itu tidak mengendahkan larangan Pawang Datuk Tangguk.  Secara halus penulis menggambarkan pertentangan antara kuasa penjajah yang mencampuri urusan negeri dengan pemimpin tempatan yang selama ini berjasa kepada rakyat.  Mengambil kira novel ini ditulis ketika zaman sebelum merdeka, penulis mengutarakan gagasan secara halus dan berhemah.  Ini dapat dilihat dari tajuk bab yang digunakan dalam novel ini seperti ‘Bila Ada Persatuan di Sana Ada Kejayaan’.  Juga petikan-petikan seperti :

  1. “Inilah pemuda harapan kaum dan bangsa yang bertanggung jawab di atas kemajuan kampung dan masyarakat.” (Shaharom Husain, 1955: 9)
  2. “Tapi mengikut biasa, jika sudah musuh, musuh juga, suatu masa ia akan menyusahkan kita. Sebab itulah sebelum dia membunuh kita, kita dahulu membunuh dia.” (Shaharom Husain, 1955:25)

 

Akhir Bicara

 

Pertembungan secara jelas antara watak-watak di dalam novel ini menggambarkan suasana zaman yang dilalui penulis ketika era sebelum merdeka.  Novel ini boleh dirincikan namun kehendak pembaca ketika itu yang mahukan novel yang tipis serta ringan kandungannya tidak lari dari tema percintaan.  Penulis bertindak bijak dengan memasukkan catatan lawatannya di Kuala Kubu pada awal novel dan suasana Kuala Kubu yang ditinggalkan pada bahagian akhir novel.  Seolah pembaca ketika itu membaca sebuah catatan sejarah dengan mitos selari dengan kisah percintaan yang dipenuhi harapan-harapan yang tidak kesampaian.

 

 

Bibliografi

 

A Samad Said, 1987.  Dari Salina ke Langit Petang.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Abd Rahim Abdullah.  Kemunculan dan Kemusnahan Kuala Kubu 1883-1931.  Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia.

Shahnon Ahmad, 1989.  Gubahan Novel.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shahrom Husain (Masyhor Malaya), 1978 (Edisi Jawi  1955).  Korban Kuala Kubu Karam.  Melaka : Syarikat Nusantara.