LATAR BELAKANG SEJARAH KUALA KUBU

Pinggiran Kuala Kubu Lama sekitar tahun 1906

Sejarah Kuala Kubu adalah antara sejarah yang paling menarik dalam negeri selangor, tetapi kurang mendapat perhatian dan publisiti. Kuala Kubu dan kawasan sekitarnya diketahui telah didiami oleh manusia semenjak zaman neolitik lagi sehingga ke zaman gangsa, di mana kuala kubu adalah merupakan lombong dan sumber bijih timah yang menyumbangkan kepada pembuatan peralatan berasaskan gangsa.

Kuala Kubu juga menyaksikan simbol kehebatan keupayaan kejuruteraan orang melayu sebelum revolusi industri yang di bawa oleh orang Inggeris. Mereka mampu membina empangan yang besar, yang bukan sahaja berfungsi sebagai reservoir untuk penternakan ikan dan sumber air, malah ia juga berfungsi utama sebagai alat perlombongan untuk mengumpulkan bijih timah di dasar sungai. Kuala Kubu juga pernah menjadi medan dan kancah perang saudara selangor yang berlansung dari tahun 1869-1875.

Secara umumnya sejarah Kuala Kubu boleh di bahagi kepada 3 fasa:

  1. Era sebelum ampang pecah 1883
  2. Era zaman kolonial 1883-1931
  3. Era Kuala Kubu Bharu pasca 1931

Pada waktu abad ke 18 lagi kuala kubu yang pada masa itu dikenali dengan nama Hulu Selangor telah menjadi kawasan yang penting oleh kerana aktiviti perlombongan bijih timah yang mungkin telah bermula semenjak dari zaman gangsa lagi. Orang melayu tempatan, orang rawa dan mendailing datang berhijrah ke daerah ini untuk mencari rezki dengan aktiviti perlombongan secara tradisional. Setelah sekian lama melombong bijih timah, orang melayu mula memikirkan cara paling mudah dan senang untuk mendapatkan bijih timah. Akhirnya mereka memutuskan untuk membina empangan yang merentasi Sungai Kubu pada sekitar tahun 1780an. Tanpa bantuan teknologi moden orang melayu dengan pertolongan orang asli tempatan berjaya membina empangan kukuh yang panjangnya ialah 1.6 km dan lebarnya 90-100 meter dengan hanya menggunakan kayu dan tanah. Apabila empangan telah penuh, air yang melimpah disalurkan menjadi air terjun yang deras arusnya. Maka tanah-tanah yang mengandungi bijih dicampakkan ke dalam arus deras ini. Lumpur dan tanah akan hanyut manakala ketul-ketul bijih timah yang berat akan mendap ke dasar sungai untuk digali kemudiannya.

 

Begitulah teknologi orang melayu zaman itu, tanpa perlu pam elektrik untuk menjadikan bijih timah sebagai eksport utama yang keluar melalui Kuala Selangor. Saudagar-saudagar Bugis menjadi peraih dan pengeksport utama bijih timah ini, sehingga pada satu masa mendatangkan irihati pihak Belanda, di mana mereka pernah membina kubu di Kuala Selangor untuk mengawal bijih timah.

 

Perang Saudara Selangor juga menyaksikan kawasan Kuala Kubu menjadi kawasan pertahanan dan kubu kuat bagi Sayyid Masyhor sekutu Raja Mahadi.

Sayyid Masyhor dengan bantuan ketua perang China yang bernama Chong Chong, telah berjaya mengumpulkan 2,500 orang angkatan perang yang terdiri dari orang Melayu dan China. Pasukan Tengku Kudin telah cuba menyerang kubu-kubu Sayyid Masyhor tetapi gagal. Dari kubu-kubu yang dibina oleh Sayyid Masyhor inilah Kuala ‘Kubu’ mendapat namanya.

 

Sayyid Masyhor hanya dapat dikalahkan oleh pasukan perang dari Pahang yang diminta oleh Tengku Kudin untuk menyerang Kuala Kubu. Akhirnya Sayyid Masyhor berundur dan mendapat perlindungan di Istana Perak. Maka selepas kekalahan Sayyid masyhor, disekitar awal 1870an Kuala Kubu atau Hulu Selangor telah menjadi jajahan bawah pentadbiran Pahang. Tengku Kudin telah menyerahkan daerah ini kepada Bendahara Wan Ahmad sebagai balasan pertolongan pasukan perang Pahang dan untuk membayar perbelanjaan perang yang telah dikeluarkan dahulu oleh Pahang.

 

Beberapa tahun selepas Inggeris menjadi penjajah selangor, Kuala Kubu mendapat perhatian mereka kerana kekayaan hasilnya. Sebab itulah mereka menghantar Cecil Ranking sebagai pemungut hasil dan majistret daerah Hulu Selangor. Cecil Ranking melihat potensi besar Kuala Kubu, lantas tanpa berlengah lagi mengesyorkan pihak Inggeris supaya membina bandar baru yang lebih tersusun di Kuala Kubu untuk memaksimakan potensi ekonominya.

Bagaimana pun, sebelum sempat melihat kuala kubu jadi bandar, empangan yang sudah berusia 100 tahun itu pecah melimpah, dan Cecil Ranking mati lemas bersama dengannya.

Tragedi ampang pecah itu tidak melemahan semangat Inggeris untuk membangunkan bandar Kuala Kubu. Malah mereka menjadikan Kuala Kubu sebagai pusat pentadbiran Hulu Selangor lengkap dengan pejabat daerah, hospital dan rumah-rumah pegawai. Pada waktu jalan keretapi rancak dibina pada tahun 1890an, satu cabang jalan keretapi telah dibina dari stesen Kuala Kubu Road hinga ke stesen pekan Kuala Kubu. Pihak inggeris juga pernah bercadang untuk membina jalan keretapi dari Kuala Kubu hingga ke Raub pahang, bagaimanapun rancangan itu dibatalkan atas sebab-sebab halangan teknikal. Kuala Kubu pada waktu ini menjadi bandar ketiga besarnya di Selangor. Kuala Kubu juga menjadi pintu masuk utama ke Pahang apabila jalan ‘bridle path’ ke Raub telah siap diperbaiki. Sewaktu terjadinya pemberontakan pahang, Kuala Kubu menjadi pintu utama untk menghantar bekalan kepada pasukan Inggeris bagi menundukkan pemberontak.

 

Pada tahun 1896 satu kawasan peranginan untuk pegawai-pegawai serta saudagar telah dibina di atas Bukit Kutu berhampiran dengan bandar Kuala Kubu.

Pelabur-pelabur Melayu, Eropah dan China seperti Che Manap, C.C. thomson, Towkay Loke Yew, Towkay Tan Kim Bee banyak menanam modal ke daerah ini untuk memulakan aktiviti perlombongan, perjudian, perladangan dan pengangkutan. Misalnya, route bas antara Kuala Kubu dan RaubĀ  adalah di antara khidmat bas komersial yang paling awal di Tanah Melayu yang diasaskan oleh pelabur dari Perancis.

 

Bagaimana pun aktiviti perlombongan bijih timah yang sangat intensif di hulu Sungai Selangor seperti di Sangkar Dua dan Peretak telah membawa padah yang besar bagi bandar Kuala Kubu. Hakisan tanah yang teruk telah berlaku, yang mengakibatkan pasir dan lumpur telah turun hanyut meliputi bandar Kuala Kubu setiap kali banjir besar berlaku. Di antara tahun 1900 sehingga 1931 berlaku siri banjir-banjir besar yang bukan sahaja mengakibat kerugian harta benda, tapi menimbuskan sebahagian bandar Kuala Kubu dengar timbunan lumpur dan pasir. Ini diburukkan pula oleh sikap dan keengganan kerajaan Inggeris untuk mengeluarkan belanja bagi projek pendalaman dan pembesaran sungai bagi mengelakkan banjir besar. Akhirnya Kuala Kubu tidak lagi selamat untuk diduduki bagi aktiviti ekonomi dan pada tahun 1921 Pihak Berkuasa Tempatan kerajaan Inggeris telah mengistiharkan bahawa mereka tidak lagi dapat menjamin keselamatan penduduk Kuala Kubu lalu menggesa mereka berpindah ke tempat yang lebih selamat. Masalah banjir ini menjadi begitu kronik sehingga pada tahun 1921 juga pusat pentadbiran Kuala Kubu dipindahkan ke Rasa.

 

Pada masa yang sama pihak Inggeris telah merancang kawasan baru yang lebih tinggi, yang selamat dari banjir bagi membangunkan bandar Kuala Kubu yang baru. Mereka telah menggunakan khidmat seorang arkitek yang berasal dari New Zealand bernama Charles Compton Reade, untuk mereka pelan bandar yang baru. Banjir besar yang berlaku pada tahun 1926 telah mempercepatkan lagi proses bagi membina bandar baru ini. Akhirnya bandar ini pada asasnya telah siap dibina pada tahun 1930 di mana pusat pentadbiran dipindahkan semula dari Rasa ke Kuala Kubu yang baru.

 

Namun masih ada lagi penduduk kuala kubu yang enggan berpindah ke “Kuala Kubu Bharu” ini kerana mata pencarian dan perniagaan mereka terletak di kawasan lama ini. Akan tetapi pada tahun 1931, berlaku lagi satu banjir besar di mana akibatnya Kuala Kubu lama terus ditinggalkan oleh penduduknya ditelan pasir dan bumi. Maka segala sejarahnya yang gilang gemilang sebagai bandar kolonial Inggeris yang makmur di Selangor telah terkubur di dalam tanah, sehinggalah pada awal 1980an di mana berlakunya penempatan dan pembangunan semula kawasan Kuala Kubu Lama dan Ampang Pecah ini.

Selepas tahun 1931, Kuala Kubu Bharu terus menjadi bandar kecil kolonial yang unik berkonsepkan bandar dalam taman seperti yang direka bentuk oleh arkiteknya Charles Reade. Kuala Kubu menjadi tempat aktiviti masyarakat kolonial yanag wujud ketika itu. Mereka mengadakan siri perlawanan kriket dan liga bolasepak yang di anggotai oleh Serendah, Rawang dan lain-lain. Kual Kubu juga menjadi tempat latihan Pasukan Sukarelawan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay State Volunteer Force).

Kuala Kubu Bharu juga mempunyai landasan kapalterbang sendiri, di mana pegawai-pegawai British sering di terbangkan dari Kuala Lumpur. Landasan ini juga menjadi cabaran kepada ahli-ahli kelab penerbangan Kuala Lumpur pada masa itu.

Semasa Perang Dunia Kedua, Kuala Kubu Mula menghadapi zaman pudar, bermula dengan musnahnya tempat peranginan Bukit Kutu yang dibom.

Selepas zaman Jepun bermula pula zaman darurat di mana Kuala Kubu menyaksikan peristiwa yang sangat-sangat memalukan penjajah Inggeris, iaitu pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British, Henry Gurney. Pihak Inggeris gagal memberikan perlindungan kepada pegawai tertinggi mereka di Tanah Melayu, yang pada masa itu mempunyai kuasa lebih dari Sultan-sultan Melayu sendiri.

Ketua Komunis yang membunuh Henry Gurney, iaitu Siu Mah berjaya melarikan diri – dan hanya dapat ditangkap dan dibunuh 4 tahun dan kemudian. Itu pun kerana orang kanan dan komradnya telah dapat disuap agen Inggeris.