PERISTIWA EMPANGAN PECAH

artist’s impression

 

Bak kata peribahasa Melayu “malang tidak berbau” Sungguhpun Cecil Ranking berikhtiar untuk menyelamatkan pekan Kuala Kubu dari dilanda banjir akibat air yang melimpah dari Sungai Selangor pada musim hujan lebat, ia tidak menyangka bahawa empangan besar itu mempunyai potensi bahaya yang amat dahsyat.

 

Pada 29 Oktober, 1883, jam 7.00 malam, kedengaran satu letupan yang amat kuat dan arah empangan dan dalam masa yang begitu singkat pekan Kuala Kubu dilanda banjir yang dahsyat sekali.[1] Dalam masa lima belas minit, 38 buah rumah dimusnah dan dihanyut oleh arus banjir.[2] Hampir seluruh pekan Kuala Kubu dan kàwasan sekitarnya telah ditenggelami air yang naik sepuluh kaki. Menurut satu sumber cuma enam buah rumah sahaja terselamat.[3] Kemusnahan harta-benda dan kehilangan nyawa sangat tinggi. Didapati bahawa 35 orang, termasuk Cecil Ranking,[4] terkorban dan 1,500 orang kehilangan segala harta-benda mereka.[5] Berdasarkan laporan yang dibuat oleh William Cameron, boleh dikatakan bahawa Cecil Ranking sebenarnya boleh sempat menyelamatkan dirinya sekiranya beliau bekerjasama dengan orang-orang yang bersungguh-sungguh hendak menolongnya.[6]

 

Keruntuhan Empangan Besar

 

Tidak diketahui dengan tepatnya tarikh pembinaan empangan ini tetapi dijangkakan dibina pada pertengahan kurun ke-18. Ianya terletak kira-kira satu setengah batu di atas dari pekan Kuala Kubu. Panjangnya hampir satu batu, lebarnya di antara 100 hela sehingga 400 hela dan dalamnya adalah kira-kira 36 kaki.[7] Berdasarkan butir-butir ini boleh dianggarkan bahawa empangan ini dapat mengisi sebanyak 855 juta gelen air. Ini bermakna tidak jauh dari pekan Kuala Kubu terletaknya satu punca malapetaka.

 

Penduduk Kuala Kubu percaya bahawa sebab empangan pecah adalah akibat daripada tindakan Cecil Ranking yang cuba menembak buaya putih yang kononnya diam di dalam kolam di atas. Menurut kepercayaan mereka, buaya putih itu adalah “karamat” yang menjadi penunggu empangan. Sehingga sekarang cerita ini masih diperkatakan oleh generasi tua. Cerita dongeng ini begitu terkenal sehingga sebuah novel berasaskan tema ini pernah diterbitkan.[8]

 

Ada juga beberapa sebab lain yang membawa kepada pecahnya empangan ini. Terutama sekali ialah darihal usia empangan itu yang agak tua. Bahan-bahan yang digunakan dalam pembinaannya hanya tanah dan batang-batang kayu.[9] Kemungkinan besar batang-batang kayu ini sudah reput dan cuma tunggu masa untuk roboh. Satu lagi perkara yang harus disentuh ialah peristiwa yang berlaku pada 19 Oktober, tahun 1883. Diketahui bahawa pada hari tersebut itu, Cecil Ranking telah pergi ke empangan itu dengan bot dan mencampakkan ke dalamnya tiga batang letupan (“three charges containing 4, 3 and 2 cartridges”).[10] Satu lagi faktor yang perlu diambil kira ialah kawasan Kuala Kubu seringkali mengalami hujan lebat dan banjir-banjir secara kecil-cecilan adalah satu fenomena biasa bagi penduduk-penduduk di sini.[11] Beberapa hari sebelum peristiwa empangan pecah, Kuala Kubu mengalami cuaca buruk kerana hujan turun dengan lebat tanpa henti-henti.[12]

 

Kalau ketiga-tiga faktor ini ditelitikan, didapati bahawa kesemuanya itu ada kaitan di antara satu sama lain. Rumusan yang dapat diketengahkan ialah Ietupan dinamit itu mungkin mengakibatkan beberapa retakan dalam tembok empangan yang sudah usang itu. Apabila turun hujan lebat selama beberapa hari, maka tembok itu roboh di tengah-tengah dan air dan empangan yang penuh itu berpancut melalui lobang besar yang diameternya berukuran 40 kaki.[13]

 

Akibat Empangan Pecah

 

Menurut laporan William Cameron, sebuah kampong[14] di bawah empangan itu musnah sama sekali dan sebahagian besar pekan Kuala Kubu juga turut musnah.[15] Penduduk-penduduk yang terselamat hanya dapat melarikan diri dengan pakaian yang ada pada diri mereka pada ketika itu.[16] Mangsa-mangsa banjir menghadapi kebuluran. Pada masa darurat itu beberapa kedai China yang terselamat itu, enggan menjualkan beras dan bahan-bahan makanan demi untuk menjaga kepentingan diri mereka sendiri. Maka pihak lnggeris terpaksa menghantar barang-barang makanan dan lain-lain keperluan dari Kuala Selangor.[17]
Salah satu kesan yang amat penting akibat banjir ini ialah proses pembukaan tapak bagi pekan Kuala Kubu di sebelah tebing kiri Sungai Selangor dapat dipercepatkan.[18] Untuk memulihkan pekan Kuala Kubu seperti sediakala, Residen Selangor telah mengarahkan J.W. Bristow mengumumkan bahawa pihak Inggeris akan membantu mangsa-mangsa banjir membina semula rumah masing-masing.[19]

 

Dalam hal ini didapati dua ciri yang agak menarik yang pertama ialah cuma 17 orang China dan Melayu yang memohon untuk pinjaman wang dari kerajaan.[20] Tetapi bilangan rumah yang musnah akibat banjir adalah 38 buah. Ini bermakna ada beberapa orang yang tidak membuat permohonan untuk pinjaman wang. Kemungkinan besar golongan ini tidak berupaya membayar balik pinjaman atau pun ada juga beberapa orang mangsa banjir berpindah ke tempat lain. Pada hemat saya alasan kedua ini lebih wajar berdasarkan kepada fakta-fakta yang berikut.

 

Segala penternakan dan dua buah lombong sudah pun musnah akibat banjir.[21] ini bermakna ramai orang kehilangan punca pencarian rezeki mereka dan Kuala Kubu dianggap tidak mepunyai daya penarik bagi mereka lagi.

 

Fakta lain ialah Penghulu Garang Ishak telah dipertanggungjawabkan oleh Residen Selangor supaya menambahkan semula penduduk di pekan Kuala Kubu seperti dahulu. Arahan Residen ini amat serius kerana sekiranya Penghulu Garang gagal dalam melaksanakannya, ia akan dipecat dan jawatannya ataupun gajinya akan dipotong.[22]

 

Peristiwa di Kuala Kubu memang dipandang berat oleh pihak Residen. Kerana itu beliau sendiri melawat Kuala Kubu untuk menentukan kerja-kerja pemulihan dapat disegerakan.[23]
Ciri kedua ialah penduduk-penduduk awal Kuala Kubu hidup berdikari. Mereka tidak mengharapkan dan juga tidak diberi bantuan percuma. Mereka telah membuat akuan bahawa mereka akan membayar balik jumlah perbelanjaan yang bersabit dengan pembekalan makanan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan.[24] Hal yang lain ialah berkenaan dengan wang pinjaman oleh 17 pemohon itu. Mereka dikehendaki membayar balik wang pinjaman itu tanpa dikenakan faedah sebelum akhir bulan Disember tahun 1884.[25]

 

Walaupun Kuala Kubu sudah mengalami kemusnahan yang begitu dahsyat, didapati pihak Inggeris tidak meninggalkan pekan itu. Kalaulah mereka ingin mencari tempat yang lebih selamat dari ancaman banjir memang mereka boleh dengan mudahnya memindahkan pusat pentadbiran mereka ke Rasa, sebuah bandar lebih kurang lima batu dari Kuala Kubu. Sebaliknya, pihak Inggeris menjadi lebih gigih dalam usaha menghidupkan kembali pekan Kuala Kubu.

 

Pada awal bulan Disember, 1883, McCarthy dilantik sebagai Pemungut dan Majistret baru bagi Kuala Kubu.[26] Pemangku Residen Selangor, J.P.Rodger, dengan sengaja memilih McCarthy kerana beliau mempunyai:

 

Knowledge of Public Works both in building and road work and this would be of the greatest service.[27]

 

Lagi pun beliau pernah bekerja selama tujuh tahun di dalam Jabatan Tanah, Galian dan Ukur, di Australia Barat.[28] Daripada kenyataan-kenyataan ini boleh dihujjahkan bahawa pembangunan semula pekan Kuala Kubu merupakan satu keutamaan pihak Inggeris. Maka perkhidmatan McCarthy amat diperlukan dalam bidang-bidang pembangunan dan perlombongan di Kuala Kubu. Sebaik sahaja beliau mula bertugas, beliau sudah pun mendapat tahu bahawa Kuala Kubu dan kawasan sekitarnya adalah kaya dengan bijih timah.
Pada hujung kurun ke-19, pihak Inggeris memang mempunyai pandangan yang optimis akan masa depan Kuala Kubu. Optimisme ini dibayangkan dalam laparan W.P. Hume seperti berikut:

 

The position of Kuala Kubu is extremely well chosen as the capital of the principal district in this state. Standing as it does, at the gates of Perak and Pahang, 16 miles from the one and 21 miles from the other, and some 30 miles from the country of Kuala Lumpur district, its central position, the amount of unworked mining and other land that surround it and the fact that its propulation does not depend like our other townships, on the presence of large mining kongsis within its borders, render it certain that it will have a permanent existence and continue steadily to increase in importance, wealth and population.[29]

 

………………………………………….

 

[1] Ini adalah kenyataan yang terkandung di dalam dua pucuk surat yang telah dikirimkan oleh Dato’ Panglima Garang kepada Sultan Selangor dan Residen Selangor. Surat-surat ini ditulis dalam huruf jawi. Lihat lampiran V, disertakan salah satu daripada salinan surat itu, (bersama-sama dengan transliterasinya) dalam tulisan rumi. Surat ini terdapat dalam 5SF, KL/1669/83.

 

[2] Surat daripada J.W. Bristow kepada Residen Selangor, bertarikh 2 November, 1883, dalam SF,U.Sel/1672/83.

 

[3] Berita tentang banjir disiarkan dalam surat khabar The Straits Times, 5 November, 1883, hIm. 2.

 

[4] Laporan J.W. Bristow kepada Residen Selangor, bertarikh 12 November, 1883, dalam SSF, KL/1708/83.
[5] Disiarkan di dalam surat khabar The Straits Times, 1 November, 1883 hIm. 2

 

[6] The Straits Times, bertarikh 10 November, 1883, hIm, 2. William Cameron berada di Ulu Selangor pada 30 Oktober, 1883, sehari selepas banjir dan beliau melaporkan dari Kuala Kubu pada 2 November, 1883 seperti yang berikut: “…the heavy floods of the previous evening had swollen the river and a Iarge and ancient reservoir up the Kubu (sungai) had burst and the water came down in one gigantic wave sweeping evetything before it, houses, trees and human beings….. He (Cecil Ranking) had resisted repeated importunities to leave it (rumah), the men even trying to drag him away, but he would not be moved”.

 

[7] Butir-butir ini terkandung dalam surat J.W. Bristow kepada Residen Selangor, bertarikh 12 November, 1883, dalam SSF, K./1708/SS.

 

[8] Lihat Masyhor Malaya (Shahrom Husain), Korban Kuala Kubu, Syarikat Nusantara, 1978.

 

[9] Surat J.W. Bristow kepada Residen Selangor bertarikh 12 November, 1883, dalam SSF, KL11708/83.

 

[10] Ibid. Perbuatan Cecil Ranking menimbulkan beberapa persoalan yang tertentu. Dalam laporan ini disebutkan bahawa tujuannya adalah untuk membunuh ikan. Tetapi bahan-bahan letupan itu dibekalkan kepadanya untuk kerja-kerja memecah batu-batu besar dan akar-akar pokok sebelum dapat membin jaIan-jalan di Kuala Kubu. Dengan yang demikian dapat disimpulkan bahawa bahan-bahan letupan ini dapat menghasilkan gegaran kuat apabila diletupkan. Persoalan yang timbul ialah mengapakah Cecil Ranking hendak membunuh ikan-ikan dalam kolam itu dengan cara yang begitu luarbiasa? Persoalan kedua lalab apakah ia hendak buat dengan begitu banyak ikan? jawapan bagi soalan-soalan ini sukar dicari! Sebaliknya, adakah Cecil Ranking turut percayai tentang wujudnya buaya-buaya (sepertimana dipercayai oleh penduduk Kuala Kubu) di dalam empangan itu dan beliau cuba membunuh buaya-buaya itu dengan menggunakan dinamit?

 

[11] Journal Rasmi “Collector and Magistrate”, Ulu Selangor, bagi tempoh 11 Mei sehingga 31 Mci, 1883, dalam SSF, US/780/83. Juga lihat Lampiran III.

 

[12] Disebutkan “…. the falling of heavy and almost incessant rain for several days before hand”, dalam surat  J.W. Bristow kepada Residen Selangor, bertarikh 12.11.1883, dalam 8SF, KL/1708/83.

 

[13] ibid.

 

[14] Bekas kampung itu diberi nama Kampung Empang Pecah. Pada masa ini terdapat beberapa buah kandang lembu di sini.

 

[15] Laporan William Cameron dalam The Straits Times, bertanikh 10 November, 1883.

 

[16] Orang Melayu kehilangan semua barang persendirian termasuk “silver which seems to be a very large sum”. (surat  J.W. Bristow kepada Residen Selangor, bertarikh 2.11.1883 dalam SSF,U.Sel/1672/83).

 

[17] Lihat “Report on Ulu Selangor”, bertarikh November, 1883, yang dihantar oleh J.W. Bristow kepada Residen Selangor, dalam SSF, U.S. 1710/83. Yang menarik di sini ialah bantuan-bantuan itu bukanlah percuma kerana dalam laporan ini disebutkan berikut: “The poor people were thankful and promised to repay the cost in 3 months.”
[18] Tapak ini samalah seperti dirancangkan dahulu oleh Cecil Ranking,. Lihat pelan dalam Lampiran IV. Sebelum banjir besar ini, penduduk-penduduk di tebing kanan Sungai Selangor pernah digalak oleh Cecil Ranking untuk berpindah ke tebing kiri, tetapi mereka didapati enggan membuat demikian. Lihat “Journal of the Collector and Magistrate”, Ulu Selangor, bagi 11 Mei sehingga 31 Mei 1883, dalam 8SF, US/780/83.

 

[19] Surat Residen Selangor kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan, bertarikh 4.11.83, dalam SSF, U.Sel. 1672/83.

 

[20] Jumlah pinjaman yang diberi kepada pemohon-pemohon adalah sebanyak $2,975.00. Lihat minit dan H. Syers, Esqu., Ulu Selangor, kepada Residen Selangor, bertarikh 14.11.83, dalam SSF, Misc. 1739/83.

 

[21] Surat J.W. Bristow kepada Residen Selangor, bertanikh 12.11.83, dalam SSF, KL/1708/83.

 

[22] Surat Residen Selangor kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan, bertarikh 4.11.83, dalam SSF, U.Sel, 1672/83, dan juga surat J.P.Rodger kepada Penghulu Garang Ishak, bertarikh, 13.11.83, datam SSF, KL11719/83.

 

[23] Surat Residen Selangor kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan, bertarikh November, 1883, dalam SSF, U.Sel, 1672/83.

 

[24] “Report on Ulu Selangor”, bertarikh 3 November, 1883, dari J.W. Bristow kepada Residen Selangor, dalam SSF, US 1710/83.

 

[25] Minit dan H.Syers, Esqr., Ulu Selangor, kepada Residen Selangor, bertarikh 14 November, 1883, SSF, Misc. 1739/83.

 

[26] Sejak kematian Cecil Ranking, J.W. Bristow menjalankan tugas sebagai Pemangku Pemungut dan Majistret hingga 30 Novermber, 1883. Pada 1 Disember, 1883, McCarthy mengambil alih pentadbiran dari Bristow, Lihat surat dari Pemangku Residen Selangor ke Bristow, bertarikh 30.11.83, dalam SSF, KL/1791/83.

 

[27] Surat dari Superintendent Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur, ke Pemangku Residen Selangor dan juga surat dari McCarthy kepada Superintendent Jabatan Kerja Raya. Kedua-dua surat ini bertarikh 14.11.83, dalam SSF, KL/1721/83.

 

[28] . Beliau menggambarkan Kuala Kubu sebagai “this large and valuable district”. Lihat surat McCarthy kepada Residen Selangor, bertarikh 5.12.1883, dalam SSF, U.Sel. 1844/83.

 

[29] Selangor Government Gazette, 1901, hlm. 7.