Sejarah Kuala Kubu

Sejarah Kuala Kubu adalah antara sejarah yang paling menarik dalam negeri Selangor, tetapi kurang mendapat perhatian dan publisiti. Kuala Kubu dan kawasan sekitarnya diketahui telah didiami oleh manusia semenjak zaman neolitik lagi sehingga ke zaman gangsa, apabila Kuala Kubu merupakan lombong dan sumber bijih timah yang menyumbang kepada pembuatan peralatan berasaskan gangsa.

Kuala Kubu juga menyaksikan kehebatan dan keupayaan kejuruteraan orang Melayu sebelum revolusi industri yang di bawa oleh orang Inggeris. Mereka telah membina sebuah empangan yang besar, yang bukan sahaja berfungsi sebagai reservoir untuk penternakan ikan dan sumber air, malah fungsi utamanya adalah kaedah perlombongan untuk mengumpulkan bijih timah di dasar sungai. Kuala Kubu juga pernah menjadi medan dan kancah perang saudara Selangor yang berlangsung dari tahun 1869-1875.

Secara umumnya sejarah Kuala Kubu boleh di bahagi kepada 3 peringkat:

  1. Sebelum ampang pecah 1883
  2. Zaman kolonial 1883-1931
  3. Kuala Kubu Bharu pasca 1931

Teknologi Melombong Tradisional

Sejak abad ke 18 lagi Kuala Kubu yang pada masa itu dikenali dengan nama Ulu Selangor telah menjadi kawasan yang penting oleh kerana aktiviti perlombongan bijih timah yang mungkin telah bermula semenjak dari zaman gangsa lagi. Orang Melayu tempatan, orang Rawa dan Mendailing datang berhijrah ke daerah ini untuk mencari rezki dengan aktiviti perlombongan secara tradisional. Setelah sekian lama melombong bijih timah, orang Melayu mula memikirkan cara paling mudah dan senang untuk mendapatkan logam tersebut. Akhirnya mereka memutuskan untuk membina empangan yang merentasi Sungai Kubu pada sekitar tahun 1780an. Dengan bantuan orang asli tempatan, mereka berjaya membina empangan kukuh yang panjangnya ialah 1.6 km dan lebarnya 90-100 meter dengan hanya menggunakan kayu dan tanah. Apabila empangan penuh, air yang melimpah disalurkan menjadi air terjun yang deras arusnya. Maka tanah-tanah yang mengandungi bijih tercampak ke dalam arus deras ini. Lumpur dan tanah akan hanyut manakala ketul-ketul bijih timah yang berat akan mendap ke dasar sungai untuk digali kemudiannya.

Begitulah teknologi orang Melayu pada zaman itu, menjadikan bijih timah sebagai eksport utama yang keluar melalui Kuala Selangor. Saudagar-saudagar Bugis menjadi peraih dan pengeksport utama bijih timah ini, sehingga pada satu masa mendatangkan irihati pihak Belanda, yang pernah membina kubu di Kuala Selangor untuk mengawal bijih timah.

Perang Saudara di Selangor

Perang Saudara Selangor juga menyaksikan kawasan Kuala Kubu menjadi kawasan pertahanan dan kubu kuat bagi Sayyid Mashor sekutu Raja Mahadi.

Sayyid Mashor dengan bantuan ketua perang China yang bernama Chong Chong, telah berjaya mengumpulkan 2,500 orang angkatan perang yang terdiri dari orang Melayu dan China. Pasukan Tengku Kudin telah cuba menyerang kubu-kubu Sayyid Mashor tetapi gagal. Dari kubu-kubu yang dibina oleh Sayyid Mashor inilah Kuala ‘Kubu’ mendapat namanya.

Sayyid Mashor hanya dapat dikalahkan oleh pasukan perang dari Pahang yang diminta oleh Tengku Kudin untuk menyerang Kuala Kubu. Akhirnya Sayyid Mashor berundur dan mendapat perlindungan di Istana Perak. Maka selepas kekalahan Sayyid Mashor, disekitar awal 1870an Kuala Kubu atau Hulu Selangor telah menjadi jajahan bawah pentadbiran Pahang. Tengku Kudin telah menyerahkan daerah ini kepada Bendahara Wan Ahmad sebagai balasan pertolongan pasukan perang Pahang dan untuk membayar perbelanjaan perang yang telah dikeluarkan dahulu oleh negeri Pahang.

Zaman Pentadbiran British dan Tragedi Ampang Pecah

Beberapa tahun selepas Inggeris menjadi penjajah Selangor, Kuala Kubu mendapat perhatian mereka kerana kekayaan hasilnya. Oleh sebab itu mereka menghantar Cecil Ranking sebagai pemungut hasil dan majistret daerah Hulu Selangor. Cecil Ranking melihat potensi besar Kuala Kubu, lantas tanpa berlengah lagi mengesyorkan pihak Inggeris supaya membina bandar baru yang lebih tersusun di Kuala Kubu untuk memaksimakan potensi ekonominya.

Bagaimana pun, sebelum sempat melihat Kuala Kubu menjadi sebuah bandar, empangan yang sudah berusia 100 tahun itu pecah melimpah, dan Cecil Ranking mati lemas bersama dengannya.

Tragedi ampang pecah itu tidak melemahan semangat Inggeris untuk membangunkan bandar Kuala Kubu. Malah mereka menjadikan Kuala Kubu sebagai pusat pentadbiran Hulu Selangor lengkap dengan pejabat daerah, hospital dan rumah-rumah pegawai. Pada tahun 1890an, jalan keretapi rancak dibina, dan satu cabang jalan keretapi telah dibuata dari stesen Kuala Kubu hingga ke stesen pekan Kuala Kubu. Pihak Inggeris juga pernah bercadang untuk membina jalan keretapi dari Kuala Kubu hingga ke Raub, Pahang, namun rancangan tersebut dibatalkan atas sebab-sebab halangan teknikal. Kuala Kubu pada waktu itu menjadi bandar ketiga besarnya di Selangor. Kuala Kubu juga menjadi pintu masuk utama ke Pahang apabila jalan ‘bridle path’ ke Raub telah siap diperbaiki. Sewaktu terjadinya pemberontakan Pahang, Kuala Kubu menjadi pintu utama untk menghantar bekalan kepada pasukan Inggeris bagi menundukkan pemberontak.

Pembangunan Kuala Kubu

Pada tahun 1896 satu kawasan peranginan untuk pegawai-pegawai serta saudagar telah dibina di atas Bukit Kutu berhampiran dengan bandar Kuala Kubu.

Pelabur-pelabur Melayu, Eropah dan China seperti Che Manap, C.C. Thomson, Towkay Loke Yew, Towkay Tan Kim Bee banyak menanam modal di daerah ini untuk memulakan aktiviti perlombongan, perjudian, perladangan dan pengangkutan. Misalnya, bas antara Kuala Kubu dan Raub  adalah di antara khidmat bas komersial yang paling awal di Tanah Melayu yang diasaskan oleh pelabur dari Perancis.

 Bagaimana pun aktiviti perlombongan bijih timah yang sangat intensif di hulu Sungai Selangor seperti di Sangkar Dua dan Peretak telah membawa padah yang besar bagi bandar Kuala Kubu. 

Hakisan tanah yang teruk telah berlaku, yang mengakibatkan pasir dan lumpur  turun hanyut meliputi bandar Kuala Kubu setiap kali banjir besar berlaku. Antara tahun 1900 sehingga 1931 berlaku beberapa banjir besar yang bukan sahaja mengakibatkan kerugian harta benda, tetapi menimbuskan sebahagian bandar Kuala Kubu dengan timbunan lumpur dan pasir. Ini diburukkan lagi oleh sikap dan keengganan kerajaan Inggeris untuk mengeluarkan belanja bagi projek pendalaman dan pembesaran sungai untuk mengelakkan banjir besar. Akhirnya Kuala Kubu tidak lagi selamat untuk diduduki bagi aktiviti ekonomi, dan pada tahun 1921, Pihak Berkuasa Tempatan kerajaan Inggeris telah mengistiharkan bahawa mereka tidak lagi dapat menjamin keselamatan penduduk Kuala Kubu lalu menggesa mereka berpindah ke tempat yang lebih selamat. Masalah banjir ini menjadi begitu kronik sehingga pada tahun 1921 juga pusat pentadbiran Kuala Kubu dipindahkan ke Rasa.

Pada masa yang sama pihak Inggeris telah merancang kawasan baru yang lebih tinggi, yang selamat dari banjir bagi membangunkan bandar Kuala Kubu yang baru. Mereka telah menggunakan khidmat seorang arkitek yang berasal dari New Zealand bernama Charles Compton Reade, untuk mereka pelan bandar yang baru. Banjir besar yang berlaku pada tahun 1926 telah mempercepatkan lagi proses bagi membina bandar baru ini. Akhirnya bandar ini pada asasnya telah siap dibina pada tahun 1930 di mana pusat pentadbiran dipindahkan semula dari Rasa ke Kuala Kubu yang baru.

Namun masih ada lagi penduduk Kuala Kubu yang enggan berpindah ke “Kuala Kubu Bharu” ini kerana mata pencarian dan perniagaan mereka terletak di kawasan lama ini. Akan tetapi pada tahun 1931, berlaku lagi satu banjir besar di mana akibatnya Kuala Kubu lama terus ditinggalkan oleh penduduknya ditelan pasir dan bumi. Maka segala sejarahnya yang gilang gemilang sebagai bandar kolonial Inggeris yang makmur di Selangor telah terkubur di dalam tanah, sehinggalah pada awal 1980an di mana berlakunya penempatan dan pembangunan semula kawasan Kuala Kubu Lama dan Ampang Pecah ini.

Selepas tahun 1931, Kuala Kubu Bharu terus menjadi bandar kecil kolonial yang unik berkonsepkan bandar dalam taman seperti yang direka bentuk oleh arkiteknya Charles Reade. Kuala Kubu menjadi tempat aktiviti masyarakat kolonial yang wujud ketika itu. Mereka mengadakan siri perlawanan kriket dan liga bolasepak yang di anggotai oleh Serendah, Rawang dan lain-lain. Kuala Kubu juga menjadi tempat latihan Pasukan Sukarelawan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay State Volunteer Force).

Kuala Kubu Bharu juga mempunyai landasan kapalterbang sendiri, di mana pegawai-pegawai British sering di terbangkan dari Kuala Lumpur. Landasan ini juga menjadi cabaran kepada ahli-ahli kelab penerbangan Kuala Lumpur pada masa itu.

Rujukan: Tarikh  Penerbit: Peskubu, Kuala Kubu Bharu, 2016 

Fakta-Fakta Sejarah Yang Telah Dikumpulkan.

PESKUBU telah berusaha menemui dan mengumpulkan fakta-fakta serta bahan-bahan sejarah yang sangat penting kepada Kuala Kubu antaranya:

  • Mengenalpasti peta empangan Kuala Kubu yang pecah circa tahun 1883.
  • Mengenalpasti lokasi empangan yang pecah.
  • Memperolehi salinan peta Kuala Kubu tahun 1875.
  • Memperolehi salinan peta lakaran Kuala Kubu tahun 1883
  • Memperolehi salinan peta Kuala Kubu Lama tahun 1920an.
  • Memperolehi salinan peta Kuala KubuBharu tahun 1926.
  • Mengenalpasti sempadan kawasan bandar Kuala Kubu lama yang tertimbus akibat banjir.
  • Mengenalpasti  mercu tanda lokasi Kuala Kubu yang tertimbus.
  • Mengenalpasti lokasi pekan Hulu Selangor (nama asal Kuala Kubu sebelum tahun 1880an)
  • Membahagikan fasa sejarah Kuala Kubu kepada tiga era (sebelum 1883, 1883-1931, 1931 hingga kini)
  • Mengumpulkan salinan keratan-keratan akhbar mengenai Kuala Kubu dari tahun 1883 hingga tahun 1931.
  • Mengumpulkan koleksi fotograf mengenai Kuala Kubu Lama.
  • Memperolehi  salinan dokumen perlantikan Cecil Ranking sebagai Collector and Magistrate 1883.
  • Memperolehi salinan catatan harian kerja Cecil Ranking sebagai Collector and Magistrate 1883.
  • Memperolehi salinan laporan kepada Residen British berkenaan kematian penduduk Kuala Kubu dan Cecil Ranking akibat tragedi empangan pecah 1883.
  • Memperolehi salinan arahan telegram dari Residen kepada William Ranking, Auditor Perak iaitu adik kepada Cecil Ranking 1883.
  • Memperolehi salinan nota atau kenyataan akhbar  kepada surat khabar  mengenai pecahnya empangan dan kematian Cecil Ranking 1883,
  • Memperolehi salinan dokumen Inquest atas kematian Cecil Ranking yang ditandatangani oleh Cameron, Penghulu Garang dan Kapitan China Kuala Kubu 1883.
  • Mengenalpasti Kapitan China Kuala Kubu tahun 1883.
  • Memperolehi salinan dokumen pemberian elaun kepada Raja Sedia, ibu kepada Syed Mashor 1883.
  • Dan banyak lagi penemuan yang  tidak disenaraikan di sini…